• admin
  • 43
  • ict

Karnival ICT LMS - Naib Johan Sunting Video dan Kuiz B-Smart

Featured Images

Seramai empat orang pelajar telah berjaya memperolehi hadiah dalam dua pertandingan yang diadakan sempena Karnival ICT Daerah LMS yang telah diadakan pada 4 Ogos 2010 di SM Teknik Taiping. Dalam pertandingan Kuiz B-SMART anjuran Telekom Malaysia, dua orang pelajar iaitu Sharan Raj dan Sreetharan telah berjaya mendapat Naib Johan setelah berjaya ke pusingan akhir.

Dalam pertandingan menyunting video bertemakan Hari kemerdekaan, dua orang pelajar yang merupakan Jurukamera Video dari Briged Bestari iaitu MOHD SYAMIRUL NAIM BIN NADZRI dan MOHAMAD RAZIQ SYAHMI BIN SAZALI telah berjaya mendapat Naib Johan dengan bimbingan Cikgu Ahmad Mazlan. Video yang disunting adalah rakaman lansung yang mereka rakam semasa acara sambutan Hari Kemerdekaan tahun lepas yang memaparkan dua orang pelajar mendeklamasikan sajak bertajuk Malaysia - Dulu Kini Dan Selamanya dalam satu perhimpunan sekolah. Video ini telah disunting dengan memasukkan unsur-unsur multimedia dan petikan video negara sebelum, semasa dan sesudah merdeka.

Pada hari Karnival tersebut, tema pameran pihak sekolah adalah Pembestarian Sekolah. Pameran ini telah memaparkan bagaimana ICT telah digunakan dalam semua bidang seperti dalam P&P, Pengurusan dan kolaborasi dengan pelbagai pihak. Sepanjang pameran berlangsung pengunjung menyaksikan rakaman video aktiviti sekolah seperti Bacaan Doa semasa perhimpunan pagi, School Oath, aktiviti Briged Bestari dan beberapa video lain yang diuruskan oleh pelajar JONATHAN A/L PUNNALAGAN.

Antara contoh penggunaan ICT dalam P&P adalah penggunaan Sistem Pengurusan Pembelajaran yang hanya dipunyai oleh 50 buah sekolah di Malaysia. Sistem ini mengandungi bahan-bahan pembelajaran multimedia termasuk semua bahan yang selama ini dibekalkan dalam bentuk CD bagi matapelajaran PPSMI. Bahan ini boleh dicapai dari pelayan (server) khas sistem ini dan ianya boleh juga dicapai dari rumah.

Penggunaan ICT dalam pengurusan memaparkan aplikasi yang digunakan untuk memudahkan pengurusan sekolah seperti dalam pengeluaran sijil-sijil seperti Sijil Berhenti, Sijil PEKA dan peperiksaan. Sistem Maklumat Olahraga yang digunakan untuk merekod Kejohanan Olahraga sekolah juga dipaparkan dalam pameran ini.

ICT untuk kolaborasi pula memaparkan pengalaman pelajar mengadakan web-conference bersama dengan pelajar-pelajar dari dua buah sekolah di Sabah dan di Besout Perak. Turut dipaparkan adalah pengalaman pelajar mengadakan Video-Conference bersama dengan Sekolah Sri Puteri, Cyberjaya dan Sekolah Alam Shah, Putrajaya sempena lawatan Menteri-menteri Pelajaran Komonwel ke Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya. Web-conference menggunakan kamera webcam biasa. Video-conference menggunakan peranti khas dan menghasilkan suara dan gambar seperti melihat di peti TV.

Dalam karnival kali ini juga pihak sekolah membuat produksi video menggunakan peralatan ICT, bagi memaparkan kemahiran pelajar dalam menggunakan ICT untuk menghasilkan produksi video berbentuk majalah untuk tontonan umum. Produksi video ini keseluruhannya diuruskan oleh pelajar. Dua orang pelajar perempuan tingkatan 6 ditugaskan menjadi pengacara iaitu Siti Nabilah bt Yahaya dan Sharon a/p Jothiram untuk mewawancara peserta karnival dan pengunjung. Tugas-tugas mereka turut dibantu oleh pembantu pengacara iaitu Sheafer Tan Lace Vin dan Prema a/p Rajasundram.  Dua orang pelajar lelaki Briged Bestari pula bertugas sebagai jurukamera video iaitu MOHD SYAMIRUL NAIM BIN NADZRI dan MOHAMAD RAZIQ SYAHMI BIN SAZALI.  Sementara itu dua orang lagi pelajar iaitu MOHAMAD ZAID BIN SHABIR AHMAD dan MOHD FAIZ BIN MAD SAAD diberi tugas menguruskan rakaman video berkenaan ke dalam notebook. Ia merupakan satu pengalaman amat berguna bagi pelajar-pelajar berkenaan dalam menerbitkan video berbentuk majalah menggunakan peralatan ICT sedia ada.

Sekolah-sekolah atau PKG yang ingin mendapatkan DVD rakaman video ini boleh hubungi webmaster@smkevii.edu.my untuk keterangan lanjut. Tahniah kepada pemenang. Terima kasih kepada guru-guru yang terlibat secara lansung dan tidak lansung dalam menjayakan karnival ICT kali ini.Terima kasih juga kepada Pentadbiran sekolah yang sentiasa memberikan galakan kepada peserta untuk mempersembahkan yang terbaik. Terima kasih juga kepada pelajar yang turut membantu dalam menjayakan karnival ini.