• admin
  • 33
  • SekolahBestari

APAKAH PEMBESTARIAN SEKOLAH?

Featured Images

Pembestarian Sekolah merupakan proses berterusan ke arah meningkatkan lagi pengunaan ICT dalam pendidikan dengan memberi fokus pada peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P), keberkesanan pengurusan dan pentadbiran sekolah dan kompetensi guru. Program Pembestarian Sekolah juga memberi maksud mengaplikasikan konsep Sekolah Bestari iaitu sebagai satu institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah untuk membantu murid-murid menghadapi era teknologi > maklumat. Komponen utama Pembestarian Sekolah adalah berfokus kepada pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan sekolah berbantukan ICT. Proses Pembestarian Sekolah ini akan dapat melatih guru dan murid berkemahiran dalam bidang ICT. Justeru, kemahiran yang diperoleh dapat melahirkan murid yang boleh mengamalkan pembelajaran akses kendiri (self-accessed), terarah kendiri (self-directed) dan kadar kendiri (self-paced).

Sistem pendidikan sedia ada perlu dimantapkan selaras dengan perkembangan era teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Beberapa penambahbaikan dalam pelbagai aspek perlu dilakukan supaya ianya berdaya saing dan relevan dengan kehendak semasa. Pewujudan Sekolah Bestari merupakan satu senario dalam pendidikan alaf baru di Malaysia dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi, sosial serta budaya masa kini. Perkembangan seumpama ini memerlukan sesebuah institusi pendidikan menggabungkan serta memberikan penekanan terhadap beberapa aspek, antaranya pengajaran dan pembelajaran berbudaya fikir, pemusatan kepada pelajar, penggunaan bahan teknologi secara bijak, strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai, serta pengurusan sekolah yang efektif.